Wednesday, February 11, 2009
Budaya.Ramai yang secara samar-samar tahu apakah itu sebenarnya budaya. Tapi hanya segelintir yang benar-benar tahu apakah makna tersembunyi yang tersirat di sebalik perkataan budaya itu. Pertama sekali. budaya atau lebih tepat lagi, kebudayaan diambil daripada perkataan Sanskrit "budayyah" yang merupakan kata jamak bagi perkataan "buddhi" yang bermaksud budi pekerti atau akal.
Budaya membincangkan hal-hal yang dikaitkan bersamanya dan ia merangkumi apa-apa yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam Bahasa Inggeris, kebudayaan disebutkan sebagai "culture" yang berasal dari perkataan Latin iaitu "colore" yang kebetulannya bermaksud menanam atau mengerjakan.
Budaya itu merupakan kata jamak bagi budi pekerti dan akal. Warisan pula, merupakan peninggalan yang diturunkan daripada generasi-generasi yang terdahulu sesebuah bangsa ataupun masyarakat. Esei ini akan membincangkan bagaimana budaya itu dapat dikekalkan di zaman yang serba moden ini.
Budaya yang akan diketengahkan bercabang pada tiga bahagian iaitu kesenian, peradaban dan bangsa. Kesenian sendiri dapat dibahagikan kepada beberapa sektor iaitu silat, tarian, tekstil, lukisan batik atau khat dan juga dikir barat. Peradaban pula dapat dibahagikan kepada kunjung-mengunjung, pantang larang, hormat-menghormati dan akhir sekali, peribahasa. Tanpa melupakan, bangsa bercabang tiga iaitu pantun, puisi dan juga kata-kata hikmah.
Dari segi peradaban, pelbagai pengajaran yang dapat diraih daripada pantang larang. Pelbagai jenis pantang larang yang kita tahu secara am. Kononnya, pantang larang yang paling sering didengari iaitu duduk di atas bantal. Cerita di sebalik pantang larang itu ialah sesiapa yang gemar duduk di atas bantal akan mendapat bisul di punggung. Sebenarnya, maksudnya bukan begitu tetapi ia tidak elok untuk seseorang itu untuk duduk di atas bantal kerana bantal itu digunakan untuk tidur dan ia tempat meletak kepala kita. Ia sememangnya tidak manis dipandang orang jika kita duduk di atas sesebuah bantal itu.
Remaja hari ini masih ingin mengekalkan budaya warisan budaya Melayu kita. Ini tampak jelas dari segala usaha mereka dalam bidang-bidang yang telah disebut awal-awal dalam esei ini iaitu seni silat, dikir barat dan lain-lain. Memang tidak dapat kita nafikan, sudah terdampang di depan mata kita usaha-usaha anak-anak muda kita pada zaman yang serba canggih ini dalam mengekalkan budaya dan warisan Melayu.
Contoh-contoh yang dapat saya berikan ialah pertandingan-pertandingan dikir barat yang diadakan setiap tahun. Ini menonjolkan bahawa dikir barat masih diingati anak-anak muda kita dan jelas sekali,dikir barat masih dapat dihidupkan pada zaman di mana anak-anak kita lebih gemar bermain dengan gitar dan sebagainya. Sama bagi seni silat, terdapat pelbagai cara-cara lain di mana anak-anak muda kita dapat menonjolkan bakat mereka dalam bidang itu, tidak mengira dari segi tanding mahupun seni.
Hingga ini, tarian bukan sesuatu yang asing bagi kita kerana dalam Singapura sendiri, siapa yang tidak mengenali kumpulan-kumpulan seperti Sriwana ataupun Som Said & Co. ? Kumpulan-kumpulan sebegini membantu dalam menghidupkan semula zaman gemilang tarian yang pada suatu masa dahulu, merupai kehidupan bagi sebahagian besar masyarakat kita.
Merumuskan segala yang telah dinyatakan, saya tentu sekali ingin menegaskan sekali lagi bahawa generasi terkini berjaya dalam melestari budaya warisan budaya Melayu dan contoh-contoh yang telah diberikan menunjukkannya dengan bersungguh-sungguh .Moga budaya kita bersambung untuk berkembang dalam masa-masa yang akan datang.
bb2008syafie
9:44 PM